Kejayaan Malindo 2013
BERDASARKAN maklumat risikan Malaysia dan Indonesia, beberapa wilayah telah dikenalpasti sebagai kawasan yang terdedah dengan ancaman pengganas termasuk Selat Melaka.
Sebagai jalur pelayaran terpenting di dunia, aktiviti pengganas lazimnya bertumpu di perairan tersebut.
Serangan pengganas yang mungkin terjadi di kawasan tersebut ialah rampasan kapal dagang atau kapal terbang yang melintas di ruang angkasa.
Risiko penculikan kakitangan Kedutaan Malaysia yang bertugas di republik itu juga amat dikhuatiri berlaku di Selat Melaka sekali gus menyebabkan pasukan pertahanan kedua-dua negara sentiasa dalam keadaan siapsiaga.
Justeru, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah mewujudkan prosedur tetap (Protap) Malindo 16 dan 18.
Prosedur itu memperuntukkan kerjasama dalam operasi ketumbukan angkatan tentera kedua-dua negara dalam menangani pengganas dan bencana.
Baru-baru ini kedua-dua Protap tersebut telah diuji pada Eksesais Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia (Malindo) yang melabuhkan tirai pada 12 Jun lalu di Lapangan Terbang Polonia, Medan, Indonesia.
Jelas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Protap yang dijalankan pada Malindo kali ini telah mencapai matlamatnya.
Katanya, kerjasama antara TNI dan ATM dalam menangani percubaan-percubaan pihak pengganas terutama aktiviti merampas kapal terbang dan kapal dagang serta menawan bangunan komersial telah membuahkan hasil.
Kejayaan daripada aspek integrasi ketenteraan ujarnya, memberi manfaat seimbang kepada kedua-dua pasukan angkatan tentera yang skop operasi ditumpukan untuk melawan keganasan.
Empat tahap latihan tersebut, katanya, merangkumi fasa latihan integrasi pasukan (FIT), pos pemerintah (CPX), latihan medan (FTX) dan post exercise debrief (PXD) membawa kepada peningkatan kelancaran tenaga tempur kedua-dua negara.
"Penyatuan dan keserasian boleh digambarkan pada latihan gabungan antara TNI dan ATM. Ini gambaran yang nyata untuk dipertahankan.
"Malaysia dan Indonesia memiliki kepentingan sama dalam menjaga kawasan dari ancaman pengganas dan sangat penting untuk berlatih bersama, sehingga kawasan dari kedua-dua negara dapat dipertahankan bersama," katanya kepada pemberita.
Panglima TNI, Laksamana Agus Suhartono pula berkata, latihan tersebut memberi amat bermakna bagi kedua-kedua negara dalam menjaga kestabilan dan keamanan di wilayah masing-masing.
Perkara itu sekali gus jelas beliau, memberi makna kepada nilai strategik pada keamanan serantau terutama di Asia Tenggara.
"Latihan ini sekali gus memperhebatkan lagi usaha menentang ancaman pengganas di kedua-dua negara," ujarnya.
Modul latihan menyelamatkan pesawat bermula apabila sebuah pesawat milik syarikat penerbangan komersial dirampas sekumpulan pengganas ala militan dan menjadikan penumpangnya sebagai tebusan.
Drama tebusan itu yang berlarutan beberapa jam memaksa pasukan khas kedua-dua negara iaitu Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Pasukan Khusus TNI Angkatan Udara bertindak memberi amaran untuk memulakan serangan.
Selepas tidak dipedulikan kumpulan pengganas, pasukan gabungan ATM dan TNI itu menyerbu pesawat tersebut dengan menembak mati semua pengganas dan menyelamatkan semua tebusan.
Senario sama turut dilaksanakan pada latihan modul menyelamatkan kapal dagang yang bertempat di lautan di Selat Melaka.
Dalam kejadian awal pagi itu, sebuah kapal dagang telah dirampas lanun dan menjadikan anak kapalnya sebagai tebusan.
Tiga bot laju yang membawa pasukan elit kedua-dua negara kemudiannya menghampiri kapal tersebut dan meminta kumpulan lanun itu menyerah diri sekiranya tidak mahu diserang.
Proses rundingan tersebut berakhir dengan kumpulan lanun menembak bot tersebut dan berkeras enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Pasukan ATM dan TNI itu seterusnya membuat serangan balas dengan daripada segenap penjuru kapal sehingga akhirnya kumpulan lanun tersebut menyerah diri.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan modul menentang pengganas di bangunan komersial sedikit berbeza apabila pasukan pertahanan menggunakan bom amaran terlebih dahulu bagi menyedarkan kumpulan pengganas bahawa mereka telah dikepung.
Akhirnya, pengganas menyerah diri setelah sedar bahawa mereka tiada lagi jalan keluar selain menyerah diri.
Majlis penutup latihan tersebut turut menyaksikan pelbagai pertunjukan ketenteraan yang melibatkan kerjasama kedua-dua negara.
Kedua-duanya, ATM dan TNI yang terlibat pada majlis tersebut telah melakukan perbarisan dan pertunjukan payung terjun bersama-sama sambil mengibarkan bendera negara masing-masing.
Kerjasama kedua-dua negara membawa kesan positif bukan sahaja kepada usaha membanteras keganasan di rantau ini, malah meningkatkan imej keselamatan Asia Tenggara.
Kerjasama yang wujud sejak sekian lama itu harus digilap dan dipertingkatkan dari masa ke semasa memandangkan pergerakan musuh kini semakin rumit.
Kesungguhan kedua-dua negara dalam memastikan mereka sentiasa bersiapsiaga dalam mendepani sebarang ancaman baik konvensional dan bukan konvensional adalah sesuatu yang signifikan dalam mengangkat polisi pentadbiran kedua-dua negara.
Kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia dalam mengurangkan pengaruh kumpulan militan yang bersimpati dengan perjuangan Al-Qaeda tidak dapat dinafikan telah membawa kesan positif yang begitu ketara.
Justeru, segala inisiatif termasuk mengadakan eksesais seperti Malindo perlu diteruskan agar usaha menangani keganasan di rantau ini mencapai tahap yang membanggakan kepada negara masing-masing.
Comments