Malindo Air ke Mumbai

NEW DELHI 16 Julai - Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air, telah mendapat kebenaran untuk terbang ke Mumbai serta ke beberapa destinasi di selatan India, demikian menurut satu laporan.

Sebelum itu, dilaporkan bahawa syarikat penerbangan itu akan memulakan penerbangan laluan Kuala Lumpur-New Delhi tidak lama lagi.

Malindo Air akan menggunakan pesawat Boeing 737-900ER pada laluan Kuala Lumpur-New Delhi, dengan menyediakan peruntukan bagasi 15 kilogram, makanan dan hiburan di dalam penerbangan, demikian menurut laporan TTG Asia.

"Syarikat penerbangan itu juga dijangka terbang ke Kolkata, Trivandrum, Chennai dan Bangalore tidak lama lagi," Pengarah Urusan Survottam Travel, Rajendra Churiwala, dipetik sebagai berkata.

Katanya, penerbangan baharu itu dijangka mendapat sambutan di pasaran itu kerana penumpang bukan sahaja akan menggunakan Malindo Air untuk ke Kuala Lumpur dan Kuching, malah juga ke Singapura.
Ia kerana harga tambangnya yang berdaya saing berbanding syarikat penerbangan lain seperti Singapore Airlines dan SilkAir.

Malaysia mencatatkan 780,000 ketibaan pelancong dari India pada tahun lepas. - BERNAMA



Comments

Popular Posts