AirAsia antara syarikat terbesar dunia?

SINGAPURA 4 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, dijangka menjadi satu daripada kumpulan syarikat penerbangan terbesar dunia berikutan pesanan 200 pesawat Airbus A320 Neo, kata Perunding Kanan Aeroangkasa & Pertahanan Frost & Sullivan, Kunal Sinha.

Beliau berkata, pesanan oleh AirAsia itu mengesahkan tiga arah hala penting.

Selain daripada perkembangan AirAsia, beliau berkata, pusat pengangkutan udara kini beralih dari Amerika Utara ke Asia dan pasaran menerima baik produk A320 Neo.

"Perjanjian AirAsia itu merupakan pesanan tunggal terbesar dengan Airbus dari segi bilangan pesawat.

"Kumpulan AirAsia kini mengendalikan 89 pesawat A320 dan mempunyai pesanan bagi 86 pesawat A320. Sebanyak 200 pesawat A320 Neo, dengan enjin CFM LEAP-X, akan diseraPkan mulai 2016 hingga 2026," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Sinha berkata, pertumbuhan dalam rangkaian pesawat komersial berkemungkinan beralih ke kawasan baru iaitu Asia Pasifik, China dan Timur Tengah.

Beliau berkata, syarikat dijangka mengikut corak berbeza yang menjadikan pasaran Amerika Utara dan Eropah matang.

Sinha berkata, baru-baru ini Boeing mengunjurkan yang rantau Asia Pasifik akan memerlukan 11,450 pesawat bernilai AS$1.51 trilion sehingga 2030. Asia Pasifik memerlukan kira-kira 30 peratus penyerahan peringkat global.

Pesawat A320 Neo dijangka menawarkan penambahbaikan 15 peratus dalam pembakaran bahan api berbanding generasi semasa A320.

Oleh itu, ia membolehkan syarikat penerbangan, terutamanya syarikat penerbangan tambang murah, untuk terus mengurangkan kos operasi unit mereka.

Sinha berkata, pesanan 200 pesawat itu adalah perlu bagi AirAsia memandangkan pesanan terakhir dibuat AirAsia pada November 2007. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, sekutu AirAsia di Thailand dan Indonesia akan menerima sebahagian besar daripada 200 pesawat tambahan itu.

Syarikat merancang untuk menggunakan tawaran awam permulaan (IPO) AirAsia Indonesia dan Thailand akan datang untuk membiayai pemerolehan berkenaan.

Sinha berkata, pesanan baharu itu, bagaimanapun menjadikan kumpulan pesawat Air Asia kepada 250 buah menjelang akhir 2020.

Oleh itu, kata beliau, AirAsia perlu mempercepatkan jadual penyerahan pesawat A320 dan A320 neo bagi memenuhi wawasannya untuk beroperasi sekurang-kurangnya dengan 320 pesawat menjelang 2020.

"Namun begitu, pesanan ini mengukuhkan kedudukan AirAsia sebagai kumpulan syarikat penerbangan tambang murah terbesar rantau ini, menjadikannya satu daripada kumpulan syarikat penerbangan terbesar di dunia," katanya. — Bernama

Comments

Popular Posts