Pesawat jimat minyak di Jepun

Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang selamat tiba dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) dalam satu penerbangan ujian ke Jepun disambut di lapangan terbang Haneda, Tokyo, semalam. - AFP

TOKYO 3 Julai - Sebuah pesawat penumpang Boeing 787 Dreamliner tiba di Tokyo dari Seattle hari ini bagi menjalani ujian penerbangan untuk All Nippon Airways (ANA) yang bakal menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia menggunakan jet baru yang menjimatkan bahan bakar itu.

Kapal terbang berbadan lebar dengan enjin berkembar itu mendarat di Lapangan Terbang Haneda di ibu negara Jepun ini pada 6.20 pagi (5.20 pagi waktu Malaysia) dalam penerbangan sulung ke Asia.

Ketibaannya disiarkan secara langsung di Internet dan disambut oleh sekumpulan peminat pesawat udara yang berhimpun di lapangan terbang tepi laut itu.

Dicat dengan warna putih dan biru ANA, jet 787 itu bergerak perlahan-lahan ke hangar sementara dua trak bomba lapangan terbang menyemburkan air di kiri kanan laluannya.

"Pesawat ini mesra alam sekitar kerana kami menggunakan bahan bakar kurang daripada kuantiti yang kami anggap mencukupi," kata ketua juruterbang pesawat, Masami Tsukamoto.

Badan 787 itu lebih ringan kerana 50 peratus daripadanya dibuat daripada gentian karbon dan bahan komposit lain.

Kecekapan penggunaan bahan bakarnya 20 peratus lebih baik daripada pesawat bersaiz sama, Boeing 767 yang bakal digantikan oleh pesawat baru itu, menurut Boeing.

Jet sepanjang 56 meter dengan lebar sayap 60 meter itu akan menjalani ujian di lima lapangan terbang termasuk lapangan terbang Kansai di Osaka dan lapangan terbang Hiroshima semasa berada di Jepun selama enam hari. - AFP

Comments

Popular Posts