Pesawat tentera Maghribi terhempas, 78 maut
MAGHRIBI 26 Julai - Seramai 78 orang terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah, apabila pesawat Hercules C-130 milik tentera terhempas di kawasan pergunungan di selatan negara ini, hari ini.
Agensi berita MAP melaporkan, pesawat pengangkut milik Tentera Diraja Maghribi itu terhempas berhampiran bandar Guelmim, 600 kilometer ke barat daya bandar Rabat.
Pesawat itu dalam penerbangan dari selatan bandar Agadir ke Laayoune di Sahara Barat membawa sembilan anak kapal, 60 anggota tentera dan 12 orang awam.
Ketiga-tiga mangsa yang terselamat dan 42 mayat telah ditemui dan dibawa ke hospital tentera berdekatan.
Menurut kenyataan tentera, kemalangan tersebut dipercayai disebabkan keadaan cuaca buruk.
Sumber Kementerian Dalam Negeri berkata, pesawat tentera itu juga digunakan untuk mengangkut ahli keluarga tentera dan digunakan di sekitar Sahara.
Seorang saksi berkata, terdapat kabus tebal di kawasan tersebut ketika nahas itu berlaku pada pukul 9 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).
Ia merupakan nahas udara terburuk di Maghribi dalam tempoh beberapa dekad.
Kali terakhir ahas pesawat di Maghribi berlaku pada 1994 apabila 44 orang penumpang dan anak kapal pesawat Royal Air Maroc terhempas di barat daya bandar Agadir.
Comments