Tiger Airways, Australia berunding

SYDNEY 4 Julai - Eksekutif kanan syarikat penerbangan tambang murah Tiger Airways mengadakan perbincangan dengan pengawal atur penerbangan Australia, hari ini dalam usaha mengembalikan keyakinan keselamatan bagi membolehkan ia beroperasi seperti biasa.

Perkhidmatan Tiger Airways Australia, anak syarikat Tiger Airways Singapore, digantung perkhidmatan selama lima hari mulai Sabtu lalu oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) kerana menyebabkan 'risiko serius kepada keselamatan udara'.

Presiden kumpulan dan Ketua Eksekutif Tiger Airways, Tony Davis dilapor tiba di Australia, semalam bagi menyelesaikan krisis tersebut.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Singapura, Tiger berkata, Davis telah diarah membantu Tiger Airways Australia 'menyambung operasi secepat mungkin'.

CASA menggantung operasi syarikat penerbangan tersebut apabila sebuah pesawatnya terbang terlalu rendah sewaktu mendekati lapangan terbang dan selepas amaran dikeluarkan berhubung kecekapan juruterbang, latihan dan pemeriksaan serta penambahbaikan kawalan penyenggaraan.

Eksekutif kanan Tiger Airways Singapore, Chin Yau Seng yang sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Operasi Krew Kabin turut terlibat menyertai perbincangan tersebut.

"Matlamat kami adalah untuk menyambung operasi secepat mungkin dengan mengembalikan keyakinan CASA serta rakyat Australia tentang keselamatan operasi kami sepanjang masa," kata Tiger Airways.

Jelas syarikat penerbangan tambang murah itu, hanya penerbangan domestik Australia terjejas, sementara penerbangan ke Singapura masih beroperasi seperti biasa. - AFP

Comments

Popular Posts