Juruterbang laporkan kerosakan enjin pesawat

SHAH ALAM 22 Julai – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa seorang juruterbang telah melaporkan kerosakan yang dihadapi oleh sebuah enjin pesawat jenis F5 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 24 Januari 2007.

Mejar Abd. Rahim Yob, 51, Ketua Bahagian Kejuruteraan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dari 2001 sehingga 2009 itu menyatakan, Kolonel Mohd. Nor Rasid Samingon melaporkan kerosakan enjin bernombor E2277187 itu di dalam borang menerusi Sistem Pengurusan Komputer Bersepadu (SPKB).

Saksi pendakwaan pertama itu menyatakan demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir pada hari pertama perbicaraan terhadap Sarjan TUDM, N. Tharmendran dan ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad yang didakwa bersubahat melupuskan enjin milik TUDM.

Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua buah enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Tharmendran dan Rajandran masing-masing diwakili peguam, Rajpal Singh dan Gobind Singh Deo, manakala Syed Faisal turut dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Noh dan Robert Pasang Alam.

Abd. Rahim yang berkhidmat dengan TUDM sejak 1978 itu menyatakan, dia ditugaskan menjaga pesawat F5 yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu F5E (satu tempat duduk), F5F (dua tempat duduk) dan RF5E (peninjau) yang mana kesemua pesawat tersebut menggunakan enjin jenis J85-21.

Menurutnya, kerosakan pesawat boleh dilaporkan sama ada oleh juruterbang atau juruteknik menerusi SPKB dan rekod-rekod pembaikan akan dikemaskinikan menerusi sistem yang sama sehingga pesawat pulih semula.

``Selepas itu, juruteknik akan membaiki pesawat menggunakan manual pesawat yang sedia ada, sekiranya kerosakan di luar bidang kuasanya, pesawat akan dihantar ke pusat pembaikan yang dilantik oleh TUDM,’’ katanya.

Menurut Abd. Rahim, selepas mengisi borang kerosakan dan mendapat kebenarannya, dia akan memanjangkan laporan itu ke Markas Lojistik Udara untuk mendapatkan kelulusan.

``Selepas diluluskan, saya akan mengarahkan juruteknik supaya memasukkan enjin ke dalam kontena untuk proses penghantaran.

``Memandangkan TUDM tidak mempunyai kepakaran dan anggota yang cukup, kerja-kerja mengeluarkan komponen enjin diserahkan kepada syarikat Airod Sdn. Bhd,’’ katanya lagi.

Menurutnya, syarikat tersebut juga akan mencatat kerja-kerja yang dijalankan ke atas enjin pesawat itu menerusi sistem SPKB dan menyerahkan kontena, enjin serta borang kerja kepada bahagian No. 12 Skuadron Pangkalan Udara Butterworth.

Selepas diterima, menurutnya, pihak No. 12 Skuadron akan menghantarnya kepada Cawangan Material Butterworth untuk penghantaran pembaikan sebelum dihantar ke MATRA 3 di pangkalan yang sama.

Menurutnya, MATRA 3 adalah gudang di mana proses penghantaran enjin tersebut ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dijalankan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung Isnin depan

Comments

Popular Posts