MAS tawar kemudahan baharu 1 Ogos

KUALA LUMPUR 11 Julai - Mulai 1 Ogos ini, para penumpang domestik bagi kelas ekonomi Malaysian Airline System Bhd. (MAS) boleh membuat pemeriksaan masuk sendiri untuk proses pelepasan dan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Langkah berkenaan bertujuan memastikan para penumpang mempunyai kawalan lebih baik bagi penerbangan mereka termasuk kepada pemilik tempat duduk.

MAS dalam kenyataannya berkata, kaunter pemeriksaan masuk secara berperingkat-peringkat akan dimansuhkan dan digantikan dengan pemeriksaan sendiri di kiosk-kiosk.

Malaysia Airports Bhd. akan menempatkan semula 22 kiosk pemeriksaan masuk di KLIA di hadapan kaunter pemeriksaan masuk konvensional di barisan A hingga F bagi tujuan tersebut.

''Dengan adanya kiosk pemeriksaan masuk sendiri ini, para pelanggan mempunyai satu lagi pilihan selain pemeriksaan masuk MH Mobile, MH Web dan MH Buddy melalui facebook,'' kata Pengarah Operasi MAS, Kapten Mohamed Azharuddin Osman.

Tambah beliau, para pelanggan hanya perlu mengingat 13 angka pada e-tiket bagi tujuan pemeriksaan masuk itu.

Sebaik sahaja selesai pemeriksaan masuk, penumpang akan ditunjukkan tempat bagasi yang sepatutnya bagi penyerahan bagasi.

Mohamed Azharuddin berkata, penumpang masih perlu mematuhi semua keperluan keselamatan dan pengembaraan di KLIA.

Comments

Popular Posts