AirAsia jadi perhatian di Indonesia

JAKARTA 7 Julai - Kehebatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia berkembang sebagai kumpulan syarikat penerbangan terbesar dunia mendapat perhatian akhbar Jakarta Globe hari ini.

Laporan muka depan akhbar tersebut hari ini menyiarkan berita dan wajah pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang tersenyum dengan tajuk The Smile of a Man Who Sees the Sky as No Limit (Senyuman seorang lelaki yang melihat langit tanpa batasan).

Jakarta Globe memilih menyiarkan laporan kecemerlangan AirAsia mencatat sejarah gemilang dalam rekod industri penerbangan dunia pada muka depan akhbar itu berikutan pesanan 200 pesawat Airbus A320 Neo oleh syarikat tersebut.

AirAsia yang dirintis oleh usahawan ternama dari Malaysia itu kata Jakarta Globe, bakal menjadikan syarikat penerbangan tambang murah tersebut sebagai antara syarikat terbesar di dunia.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Kumpulan AirAsia kini mengendalikan 89 pesawat A320 dan mempunyai pesanan bagi 86 pesawat A320. - Utusan

Memetik kenyataan Perunding Kanan Aeroangkasa & Pertahanan Frost & Sullivan, Kunal Sinha, pesanan 200 pesawat itu merupakan keperluan bagi AirAsia memandangkan pesanan terakhir dibuat AirAsia pada November 2007.

Syarikat berkenaan juga merancang menggunakan tawaran awam permulaan (IPO) AirAsia Indonesia dan Thailand akan datang untuk membiayai pemerolehan berkenaan.

Sinha berkata, pesanan baharu itu, bagaimanapun menjadikan kumpulan pesawat Air Asia kepada 250 buah menjelang akhir 2020.

Oleh itu, kata beliau, AirAsia perlu mempercepatkan jadual penyerahan pesawat A320 dan A320 neo bagi memenuhi wawasannya untuk beroperasi sekurang-kurangnya dengan 320 pesawat menjelang 2020.

"Namun begitu, pesanan ini mengukuhkan kedudukan AirAsia sebagai kumpulan syarikat penerbangan tambang murah terbesar rantau ini, menjadikannya satu daripada kumpulan syarikat penerbangan terbesar di dunia," katanya. - Utusan

Comments

Popular Posts