Pesawat kargo Asiana terhempas, 2 maut
SEOUL 28 Julai - Sebanyak dua orang maut apabila sebuah pesawat kargo Asiana Airlines hari ini terhempas di laut berdekatan kawasan perairan pulau Jeju, lapor agensi berita Yonhap.
Yonhap yang memetik seorang pengawal pantai sebagai berkata, anak kapal melaporkan masalah mekanikal dan cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, Korea Selatan sebelum pesawat Boeing 747 itu hilang dari radar.
Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan dalam perjalanan ke Pudong, Shanghai ketika kejadian itu berlaku.
''Bangkai pesawat itu ditemui kira-kira 107 kilometer dari Bandar Jeju oleh bot peronda pengawal pantai,'' lapor Yonhap.
Komputer, semikonduktor dan pewarna dilaporkan merupakan antara barangan kargo yang dibawa oleh pesawat itu.
Kementerian Pengangkutan di Seoul berkata, kebakaran mungkin berlaku di tempat simpanan kargo.
Punca sebenar kejadian itu hanya boleh ditentukan apabila data penerbangan dan perakam suara ditemui, kata kementerian itu. - DPA
Comments