AirAsia dikecualikan guna jambatan aero di KLIA2

SEPANG 14 Julai - Lapangan terbang tambang murah, KLIA2 tidak menyediakan jambatan aero untuk AirAsia Bhd. (AirAsia) bagi memenuhi model perniagaan syarikat itu.

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam kenyataannya berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, adalah penting baginya menyokong kedua-dua model perniagaan antara perkhidmatan penerbangan penuh dan tambang murah.

‘‘AirAsia telah menerangkan model perniagaannya yang memerlukan pusingan masa yang pantas untuk meningkatkan penggunaan pesawat.

‘‘Ia juga membuat rayuan bagi pengecualian polisi lapangan terbang tempatan berhubung penggunaan jambatan aero dan bagi menyokong model perniagaannya, pengecualian diberikan,’’ menurut Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad.

Berdasarkan keputusan AirAsia tidak mahu menggunakan jambatan aero di KLIA2 termasuk ketika dalam cuaca lembap bagi operasi jarak jauh, terminal baru itu dibina tanpa pemasangan kemudahan tersebut tetapi laluan akan disediakan.

Bagaimanapun, tambah MAHB, pihaknya telah memasukkan peruntukan rekaan terminal untuk menyediakan pemasangan jambatan aero, sebagai persediaan keperluan pada bila-bila masa oleh Kumpulan AirAsia atau syarikat penerbangan tambang murah yang lain.

Comments

Popular Posts