Berakhir misi "teksi" Atlantis

Last mission...good bye!!!

DENDANGAN lagu Rocket Man nyanyian Elton John berkumandang di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Umpama jam loceng, lagu tersebut dimainkan supaya krew kapal di situ ‘sedar’ bahawa hari itu adalah misi terakhir Atlantis ke situ.

Hakikatnya misi terakhir itu menyebabkan Atlantis begitu sibuk. Misi 13 hari disifatkan juruterbang Goug Hurley seperti menyudahkan kerja-kerja yang selama ini disempurnakan dalam masa dua bulan.

Sepanjang misi itu, para angkasawan memastikan bekalan yang dibawa untuk ISS mencukupi sehingga 2012. Mereka juga menguji keupayaan robotik Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA), memuatkan modul, mengisi bahan pendingin dan mengatur uji kaji satelit mini.

Tidak kurangnya kesibukan Atlantis pada misi terakhirnya itu memenuhkan kargo dengan ribuan bendera dan cendera hati untuk diagihkan apabila era kapal angkasa itu memasuki buku sejarah.

Sempurna misi 13 hari itu, Atlantis kembali ke bumi sekali gus menamat penerokaannya ke angkasa lepas pada pukul 5.57 pagi waktu tempatan (5.57 petang waktu Malaysia).

Pusat Angkasa Lepas Kennedy menjadi saksi peristiwa yang diiringi dengan penuh emosi ratusan pengunjung yang tidak mahu melepaskan detik bersejarah itu.

Komander Atlantis, Chrsi Ferguson mengakui pendaratan terakhir kapal angkasa itu sememangnya sarat dengan emosi dan kata-kata beliau itu ternyata benar.

‘‘Selepas berkhidmat kepada dunia sejak 30 tahun lalu kapal angkasa ini mencatatkan sejarah tersendiri. Dan tiba masanya ia sampai ke perhentian terakhir,’’ katanya.

Program penerokaan angkasa yang bermula sejak 30 tahun lalu itu dilihat telah berjaya mengubah pandangan manusia terhadap dunia juga mengubah cara manusia melihat alam semesta. Bekas Presiden AS, Richard Nixon mengarahkan program angkasa lepas dilaksanakan pada tahun 1970-an dan misi pertamanya dilancarkan pada 1981

“Sememangnya banyak emosi hari ini, tetapi sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah, Amerika tidak akan berhenti melakukan penerokaan,’’ kata Ferguson seperti yang siarkan media asing.

Pengurus NASA, Charles Bolden menyuarakan sentimen yang sama dalam ucapannya selepas pendaratan.

‘‘Kapal angkasa terakhir ini menandakan berakhirnya satu era, tetapi hari ini, kami mengulangi komitmen untuk meneruskan penerokaan kapal angkasa.

‘‘Kami juga mengambil beberapa langkah perlu dan sukar untuk memastikan Amerika menerajui penerokaan kapal angkasa untuk masa-masa yang akan datang,’’ kata Bolden.

Orang ramai berpusu-pusu di Pusat Angkasa Kennedy menyaksikan pendaratan terakhir Atlantis. Dianggarkan kira-kira 4,000 pekerja program kapal angkasa itu, kebanyakannya bakal kehilangan pekerjaan berikutan penutupan pusat tersebut.

“Sekarang adalah masa untuk meraikan,’’ kata instruktor sistem kapal, Michael Grabois. ‘‘Kita semua tahu ini merupakan penamat kepada program tersebut tetapi kami di sini untuk mengenang saat-saat ini,’’ katanya.

NASA dan White House memutuskan beberapa tahun lalu berikutan tragedi Columbia pada 2003, untuk menamatkan khidmat kapal angkasa ulang alik ke ISS.

Pada masa yang sama gesaan dibuat supaya NASA mengalihkan tumpuan kepada penghantaran angkasawan ke Marikh. Sejak itu, pentadbiran Barack Obama mengkaji semula visi NASA bagaimanapun pelan persaraan dikekalkan.

Misi Atlantis dikategorikan sebagai salah satu kapal angkasa ulang-alik paling lancar dalam sejarah penerokaan angkasa. Ia berterusan hingga khamis lalu.

Atlantis yang berusia 26 tahun menyelesaikan misi ke-33 dan terakhir pada meter perjalanan 8, 505, 160 kilometer tambahan kepada jarak penerbangan keseluruhan202, 673, 974 kilometer.

Antara pencapaian terbaik program ulang-alik itu adalah mengatur kedudukan 180 kapal angkasa; memperbaiki misi yang menyelamatkan Hubble daripada bakul sampah sejarah dan usaha selama 12 tahun membawa kepada penyiapan ISS.

Atlantis yang mula dilancarkan pada Oktober 1985 akan ditempatkan di kompleks pelawat di Pusat Angkasa Kennedy.

Manakala Endeavour yang menyempurnakan penerbangan terakhir pada 1 Jun lalu menuju ke Muzium Sains California di Los Angeles. Discovery pula yang mengakhiri penerbangan pada Mac akan mengambil alih tempat prototaip ulang-alik Enterprise di Muzium Angkasa dan Udara di Washington.

Dua lagi kapal angkasa, Challenger dan Columbia musnah semasa misi masing-masing pada tahun 1986 dan 2003 yang mengorbankan tujuh angkasawan.

‘‘Saya ingin melihat gambar seorang budak lelaki berusia 6 tahun memandang ke kapal angkasa di dalam muzium dan berkata: Ayah, saya ingin melakukan seperti itu apabila dewasa kelak,’’ kata Ferguson.

Untuk tempoh beberapa tahun akan datang, NASA bergantung kepada Rusia untuk menghantar dan membawa pulang angkasawan ke stesen angkasa dan kos meningkat kepada $63 juta bagi satu tempat duduk. NASA juga berbelanja beratus juta dolar untuk menyokong pembangunan sektor swasta yang akan memulakan penghantar angkasawan bermula 2015.

Lirik lagu Rocket Man adalah lontaran perasaan seorang angkasawan dalam misi ke planet Marikh tulisan Rad Bradbury ituturut memuatkan mesej dari Elton John.

Mesej itu berbunyi, “Selamat pagi, Atlantis, saya Elton John. Kami berharap anda mencapai kejayaan melalui misi anda. Terima kasih kepada semua pekerja di NASA yang bertungkus-lumus dalam misi ulang-alik ini sejak tiga dekad lalu.”

Comments

Popular Posts